-----
Oleh : Tinta 20-an, Veena Rusli
Dengan gelora di lautan yang sukar diramal amukannya, tempat paling selamat bagi sebuah kapal pastinya di pelabuhan. Di situ, suasana serba tenang dan sudah tentu tiada badai datang memukul serta tiada juga karang mengancam laluan.
Oleh : Tinta 20-an, Veena Rusli
Dengan gelora di lautan yang sukar diramal amukannya, tempat paling selamat bagi sebuah kapal pastinya di pelabuhan. Di situ, suasana serba tenang dan sudah tentu tiada badai datang memukul serta tiada juga karang mengancam laluan.
Begitupun, kapal bukan dicipta sekadar untuk berlabuh di perhentian sambil sesekali menjadi persinggahan sang camar. Kegagahannya adalah untuk melayari samudera dan si nakhoda sewajarnya bersedia menempuh apa juga kemungkinan, baik taufan mengganas mahupun ombak menggila. Ia satu kemestian.
Sama juga halnya dengan kita. Tanpa mengira sama ada kapal atau manusia, persamaannya ialah kesanggupan menanggung risiko terhadap sebarang tindakan, sekalipun ada kalanya kata muktamad itu bagai ditentang seluruh isi buana.
Apabila manusia mempunyai hak membuat keputusan, seharusnyalah kita terdorong melakukan kesilapan tanpa disengajakan. Dan, apabila itu berlaku, kita juga wajar diberi kemaafan kerana kesempurnaan tidak pernah menjadi milik diri.
Tanpa gangguan, segalanya mungkin tidak sesukar mana. Namun sebaik prasangka menguasai keadaan, sudah pasti ada hati yang hancur luluh gara-gara silap faham dan seterusnya terpaterilah satu lagi episod duka dalam hidup.
Harus diakui, ada ketikanya semua itu membuatkan kita malas melayan karenah manusia keliling yang seolah-olah mengharapkan hanya kemahuan mereka perlu dipenuhi sedangkan apa yang tersirat dihati kita tidak punya tempat untuk disuarakan, jauh sekali difahami.
Dalam banyak keadaan, himpitan sedemikian sering melahirkan kita yang baru-lazimnya kita yang tidak mahu lagi terlalu memikirkan perihal menjaga hati perasaan orang lain semata-mata kerana apa yang lebih utama ialah belaian jiwa sendiri.
Di akhirnya, kitalah nakhoda yang mendapat kepuasan selepas pertarungan menentang cabaran di lautan. Mungkin ada sedikit robek di layar, mungkin tiang patah dipanah petir, mungkin dinding calar terlanggar karang, namun semua itu boleh diperbetulkan.
Benar, ia mengambil masa untuk kembali seperti asal berdasarkan pengalaman, keadaan biasanya tidak mungkin terzahir penuh seperti sebelumnya - cuma lebih baik, Insya-Allah.
Dalam jangka masa panjang, segala kepincangan itu adalah pahatan pengajaran yang amat tinggi nilainya untuk dijadikan bekalan kembara seterusnya. Tidak mengapa jika penghuni dunia tidak menyedari ketabahan yang dimiliki, itu tidak penting.
Apa yang lebih utama ialah kita menyedari keupayaan diri untuk bangkit merempuh arus kehidupan, sekalipun bekalannya cuma keyakinan dan ketawakalan serta tawajuh kepada Tuhan.
Saya kira, kita tidak perlu kerap meminta maaf, terutama terhadap apa yang tidak kita lakukan. Jangan biarkan sikap merendah diri dicelarukan dengan ketakutan hingga menghilangkan rasa hormat terhadap diri sendiri.
Pelayaran bahtera sering mencabar nakhoda untuk mencari garis memisahkan kaki langit dengan lautan.
Pejalanan hidup pula mengajak kita memburu batasan yang membezakan di antara mimpi dengan kenyataan.
Dalam kehidupan, segalanya perlu ada sempadan.
No comments:
Post a Comment