Monday, April 25, 2005

Perbandingan Bahasa

-----

Amat sukar memahami bahasa ombak,
Sesekali menampar dengan ramah dan manis,
Melontarkan sepasang kekasih ke alam mimpi,
Kadangkala bengis dan gemuruh,
Memecahkan batu serta terumbu karang,
Atau membanting serta menenggelamkan,
Ribuan kapal dan perahu,
Sehingga ini mungkin hanya si burung camar saja,
Yang tahu dan mengerti apa yang tersembunyi,
Di balik alun riaknya

Namun lebih sukar lagi hendak memahami
Bahasa manusia kerana mereka amat bijak
Berselindung di sebalik seribu pepatah dan
Perumpamaan, penuh kias ibarat serta puisi,
Kadangkala meski pada lahir kedengaran
Lembut dan lunak beralun tapi dalam hati
Tak siapa yang tahu kesumat yang terpendam,
Daripada pertuturan bahasa tidak terkawal
Entah berapa banyak hati yang berdarah terluka,
Ikatan muhibah menjadi roboh binasa,
Akibat tajam dan pedihnya kata-kata,
Kerana itu sabda nabi:
"Adapun orang terbaik antara kamu ialah Muslim
yang dapat menyelamatkan Muslim yang lain
daripada angkara jahat oleh perbuatan tangan dan lidahnya
".

Marilah kita berbahasa sebaik mungkin,
Kerana bahasa jiwa bangsa,
Marilah kita bertutur seindah mungkin,
kerana jika mata pedang itu tajam,
Tapi tajam lagi kata-kata



Zahari Hasib
Kuala Lumpur.

No comments: